Rabu, 3 November 2010

AMBIGUITI DALAM PAPAN TANDA

1.Pengenalan
            Satu kajian mengenai ambiguiti (kekaburan makna) dalam papan tanda-papan tanda telah pun dijalankan oleh lapan orang mahasiswa/siswi Universiti Brunei Darussalam. Untuk melaksanakan kajian tersebut, dua kaedah penyelidikan telah dijalankan iaitu kaedah kajian data primer dan kaedah kajian data sekunder.

1.1.Kaedah kajian data primer
            Kaedah kajian data primer merupakan kajian yang mentah dan amat penting dalam suatu penyelidikan. Kaedah ini juga dinamakan sebagai kajian lapangan. Penulis-penulis telah turun padang ke beberapa buah tempat lalu seterusnya, merakam beberapa buah papan tanda-papan tanda yang menimbulkan ambiguiti. Dalam kajian ini, penulis-penulis telah memilih papan tanda-papan tanda yang memuatkan gambar atau imej sahaja. Papan tanda-papan tanda yang telah dirakam itu kemudiannya dijadikan sebagai soal selidik. Dengan itu, sepuluh orang responden iaitu terdiri daripada orang-orang awam telah ditanyakan tentang pemahaman mereka terhadap gambar-gambar yang ada pada papan tanda-papan tanda tersebut. Hasil daripada jawapan-jawapan responden itu kemudiannya dijadikan sebagai jawapan-jawapan untuk kuiz yang telah awda/pembaca sertai sebentar tadi.

1.2.Kaedah kajian data sekunder
            Kaedah kajian data sekunder ini juga dikenali sebagai kajian perpustakaan. Penulis-penulis telah menjalankan kaedah ini dengan meninjau beberapa buah buku untuk mengetahui lebih mendalam mengenai ambiguiti dan papan tanda-papan tanda. Selain itu, kaedah ini juga dijalankan untuk meninjau sejauh mana kajian mengenai ambiguiti dalam papan tanda-papan tanda dijalankan. Hasil daripada tinjauan ini, didapati banyak pengkaji terdahulu hanya memfokuskan pada papan tanda yang memuatkan ayat, frasa atau kata dan sejauh ini masih belum ada yang membincangkan dan mengkaji tentang ambiguiti dalam papan tanda yang memuatkan gambar/imej sahaja.

2.Apakah itu ambiguiti?
            Mungkin awda/pembaca masih tidak tahu atau pun tidak memahami apakah ambiguiti itu sebenarnya. Sebagai pengetahuan bersama, ambiguiti itu dikenali juga sebagai kekaburan atau ketaksaan makna. Ambiguiti itu ialah ayat atau perkataan yang mempunyai makna yang tidak pasti atau tidak jelas dan kurang tepat maksudnya (Siti Saniah, 2010:27). Manakala, menurut Hajar Abdul Rahim (1999:1124), ambiguiti itu merujuk kepada lebih daripada satu makna. Dalam erti kata lain, ambiguiti juga bermaksud sebagai kata atau ayat yang bermakna ganda (Semantik, t.th). Tambah Hajar (1999:1124) lagi ambiguiti dalam bahasa boleh terjadi dalam dua peringkat iaitu pada peringkat leksikal (perkataan) dan peringkat ayat. Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu iaitu kata ‘daki’ mengandungi dua makna iaitu (1) kotoran di badan (2) memanjat. Manakala, dalam bahasa Inggeris iaitu kata right itu juga mempunyai dua makna iaitu (1) betul atau benar (2) kanan (Aitchison, J., 1994:215).
Selain perkataan (leksikal), ayat juga mengandungi ambiguiti. Misalnya,
Ibu bapa Ahmad meninggal dunia
Dalam konteks ayat di atas, ayat tersebut mengandungi dua makna iaitu makna (1) merujuk kepada  ibu dan bapa Ahmad yang meninggal dunia, manakala, makna (2) pula merujuk kepada ibu kepada bapa Ahmad yang meninggal dunia.
            Penghuraian di atas jika disedari adalah lebih menjurus kepada ambiguiti dalam bahasa (perkataan dan ayat). Namun, hakikatnya, ambiguiti itu bukan sahaja berlaku dalam ayat, frasa dan perkataan tetapi ambiguiti boleh saja berlaku pada gambar/imej (Arba’ie Sujud, t.th). Sebagai contoh, gambar-gambar dalam papan tanda-papan tanda. Maka, ini bermakna, gambar dalam papan tanda itu mengandungi ketidaktepatan makna atau kekaburan makna sehinggakan kita sebagai pengguna apabila melihat gambar-gambar dalam papan tanda-papan tanda dengan sendirinya boleh mentafsir apa sahaja (seperti yang terjadi pada awda dan responden apabila ditanyakan mengenai gambar-gambar pada papan tanda tersebut).
            Hakikatnya, kita dalam dunia ini memang tidak dapat mengelakkan diri daripada menghadapi ambiguiti. Malah, sesetengah orang amat menyukai ambiguiti kerana ambiguiti itu menyembunyikan makna yang sebenar (A.Rahim, 2007).

3.Apakah itu papan tanda?
            Papan tanda merupakan salah satu alat komunikasi untuk menerangkan kepada pengguna sesuatu maklumat tentang kedudukkan sesebuah bangunan, arah sebatang jalan dan sebagainya (Forum bahasa, 2007:31). Ada beberapa jenis papan tanda. Ada papan tanda yang memuatkan lambang (gambar) sahaja, ada yang memuatkan lambang dan ayat, dan ada juga papan tanda yang memuatkan ayat atau kata atau frasa sahaja (S. Nathesan, 1999:37). Papan tanda yang diadakan itu merupakan peraturan yang perlu dipatuhi (Isi kandungan, t.th)
Papan tanda mengandungi ciri-cirinya yang tersendiri untuk memudahkan orang ramai memahami fungsi gambar dalam papan tanda. Dalam erti kata lain, walaupun papan tanda itu hanya dimuatkan dengan gambar mudah sahaja, tetapi makna yang disampaikan kepada pengguna mestilah jelas dan tepat. Malah, setiap gambar dalam papan tanda harus difahami oleh para pengguna (Noor Fairus, 2009). Pemahaman terhadap papan tanda tersebut adalah sangat penting bagi memastikan fungsi papan tanda itu berkesan (Noor Fairus, 2009).




Gambar dalam papan tanda ini nampak mudah, namun, adakah awda memahami secara jelas makna gambar dalam papan tanda ini?








4.Punca ambiguiti
            Daripada soal selidik yang telah dibuat, pelbagai jawapan yang diberikan (termasukk awda/pembaca). Ini bererti, papan tanda-papan tanda yang telah diperlihatkan (papan tanda yang telah dijadikan bahan kaji selidik) mengandungi makna yang agak kabur dan tidak seratus peratus tepat.
            Dengan itu, apakah punca ambiguiti tersebut? Didapati banyak pengkaji terdahulu hanya menumpukan kepada permasalahan ambiguiti dalam ayat atau pun perkataan terutamanya ayat atau perkataan dalam bahasa iklan. Belum ada yang membincangkan mengenai ambiguiti dalam papan tanda yang memuatkan gambar sahaja. Menurut Hashim Musa (1991:50-51), ambiguiti pada perkataan di antaranya adalah diakibatkan oleh semua takrif itu bergantung kepada kata yang digunakan. Sekiranya kata-kata yang digunakan itu tidak jelas atau tidak tepat digunakan maka takrifnya juga tidak tepat (menimbulkan kekaburan). Misalnya,makna (takrif) bagi rumah itu ialah sejenis bangunan yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Manakala, menurut Nor Hashimah Hj.Jalaluddin (1993), kekaburan makna dalam bahasa iklan adalah di antaranya berpunca masalah kekurangan istilah sehingga mengakibatkan pemilihan kata yang kurang tepat dan menyebabkan pemesongan terhadap makna sebenar yang hendak disampaikan (Nor Hashimah, 1993:883). 
            Selain itu, adanya sinonim, homonim, hiponim dan polisem juga merupakan penyumbang kepada ambiguiti dalam bahasa. Wujudnya sinonim, homonim, hiponim dan polisem (Adenan Ayob, 2008:66) ini pun kerana bahasa itu sendiri menghadapi perubahan makna.
            Penghuraian di atas menunjukkan punca ambiguiti dalam bahasa, namun, bagaimana pula dengan ambiguiti dalam gambar-gambar pada papan-papan tanda?Adakah kekaburan makna dalam gambar itu berpunca daripada kekurangan istilah? Atau pun disebabkan adanya homonim, sinonim atau polisem?Hakikatnya, amat sukar untuk mengetahui sebab atau punca wujudnya ambiguiti dalam gambar. Apa yang boleh dapat difikirkan oleh penulis-penulis adalah ambiguiti dalam gambar itu disebabkan oleh faktor sosiologis. Faktor sosiologis itu merujuk kepada masyarakat pengguna papan tanda. Masyarakat dikatakan menjadi peneraju utama dalam mentafsir sendiri makna dalam gambar pada papan tanda. Dalam erti kata lain, bukan sahaja bahasa yang diakibatkan oleh faktor sosiologis (Yayat Sudaryat, 2004) tetapi ambiguiti dalam gambar atau imej juga diakibatkan oleh faktor sosiologis. Ini bermakna, makna dalam bahasa bukan sahaja  bergantung kepada masyarakat (Semantik leksikal, 2008) tetapi makna gambar juga bergantung kepada masyarakat. Walaupun, pihak pengurusan papan tanda merasakan gambar yang ada pada papan tanda itu mempunyai makna yang jelas dan betul, namun, pengguna pula beranggapan sebaliknya atau mempunyai perbezaan pandangan terhadap gambar tersebut, oleh sebab itu, adanya perbezaan ini, maka, dengan sendirinya gambar dalam papan tanda tersebut adalah berambiguiti. Dalam erti kata lain, masyarakat bukan sahaja sewenang-wenangnya dalam memberikan kata/leksem pada sesuatu rujukan sehingga menjadikannya semakin kompleks (Palmer, F.R., 1981:6) tetapi masyarakat/pengguna juga mempunyai kelebihan dalam mentafsir dan menilai sesuatu gambar itu.

5.Kesimpulan
            Sebagai kesimpulan, kajian mengenai ambiguiti dalam papan tanda-papan tanda merupakan sebuah kajian yang menarik. Kebanyakan kajian ambiguiti sebelum ini lebih menekan kepada ambiguiti dalam bahasa iaitu ayat dan perkataan. Maka, kajian yang dijalankan oleh lapan orang penulis bolehlah dikatakan sebagai satu penerobosan baru. Dengan itu, diharapkan kepada pembaca-pembaca mungkin berkeinginan untuk melanjutkan kajian mengenai ambiguiti dalam papan tanda pada masa hadapan. Malah, informasi yang telah dipaparkan ini dapat membantu pembaca untuk menambah ilmu pengetahuan.

Rujukan
Data primer
Sepuluh orang responden. (2010). Ambiguiti dalam papan tanda. Soal selidik, 31 Oktober.
Gambar papan tanda-papan tanda. (2010). Rakaman gambar, 30 Oktober.
Data sekunder

A.Rahim Abdullah. (2007). Ketaksaan dalam karya drama Anuar Ridhwan. Dilayari pada

            November 1, 2010, daripada


Adenan Ayob. (2008). Analisis faktor dan proses perubahan makna dari sudut semantik dan pragmatik.  Jurnal bahasa, bil.14:56-68.
Aitchison, J. (1994). Words in mind: an introduction to the mental lexicon. Oxford & Cambridge: Blackwell.
Aminuddin. t.th. Semantik: pengantar studi tentang makna. Bandung: Penerbit Sinar Baru.
Arba’ie Sujud, Prof Madya Dr. t.th. Bahasa dalam kesusasteraan. Dilayari pada November 1, 2010, daripada www.ppl.upm.edu.my/index2.php?option=com_docman&task
Forum bahasa. (2007). Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hajar Abdul Rahim. (1999). Keumuman erti dan ketaksaan: satu analisis. Jurnal dewan bahasa, jil.43:1124-1126.
Hashim Musa. (1991). Falsafah bahasa: pengenalan kepada bidang-bidang dan sejarah kajian. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Isi kandungan. t.th. Dilayari pada November 1, 2010, daripada
www.scribd.com/doc/16611961/isi-kandungan
Nor Hashimah Hj Jalaluddin. (1993). Kekaburan dalam pengiklanan: masalah atau strategi. Jurnal Dewan Bahasa, bil.39:882-891.
Noor Fairus. (2009). Papan keselamatan di bangunan pejabat. Dilayari pada November 1, 2010, daripada www.scribd.com
Palmer, F.R. (1981). Semantics. Cambridge: Cambridge University Press.
S.Nathesan. (2006). Bahasa papan tanda trafik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Semantik. t.th. Dilayari pada November 1, 2010, daripada   
www.ppl.upm.edu.my/index2.php?option=com_docman&task
Semantik leksikal. (2008). Dilayari pada November 1, 2010, daripada http://www.slideshare.net/cikgupaklong/semantik-topik-7
Siti Saniah Abu Bakar. (2010). Kekaburan makna dalam retorik iklan radio.  Jurnal bahasa, bil.21:25-32.
Yayat Sudaryat (2004). Struktur makna: prinsip-prinsip studi semantik. Dilayari pada November 1, 2010 daripada file.upi.edu/ai.php

Tiada ulasan:

Catat Ulasan